Friday, January 30, 2009

Lumba Haram Hiburan Alternatif Remaja


Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my




Pelbagai aksi wheelie (angkat tayar depan), wikang (angkat tayar belakang) dan superman.

SIKAP suka menunjuk-nunjuk yang wujud di kalangan masyarakat kita juga sebenarnya antara faktor yang menjangkiti remaja tetapi dengan cara yang berbeza.

Satu contoh paling mudah, wanita atau suri rumah lebih suka membandingkan barangan rumah atau perhiasan wanita antara satu sama lain tetapi bagi remaja yang terbabit dengan geng mat rempit, mereka mempunyai cara berbeza iaitu menunggang motosikal secara berbahaya di jalan raya.

Mereka mahu mencuri tumpuan, maka timbullah aksi villey, wikang, superman yang menunjukkan seolah-olah mereka adalah raja jalan raya. Umpama mempamerkan lagak ngeri dalam filem, itulah yang mereka tonjolkan, asalkan ia merujuk kepada perlakuan seorang wira atau hero.

Ketua Program Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rozimi Ismail berkata, faktor perubahan gaya hidup zaman moden juga menyumbang kepada perilaku tidak senonoh itu kerana masyarakat sekarang lebih terbuka atau global.

“Mereka mudah terpengaruh. Sukan permotoran juga memberi impak besar kepada perkembangan minda remaja. Mereka mudah terikut dengan apa yang mereka lihat. Di Malaysia, sukan lumba motor semakin mendapat tumpuan, misalnya Motor GP atau Formula Satu (antarabangsa).

“Berlumba di jalan raya adalah satu cara remaja menghabiskan masa terutama pada waktu malam kerana kebiasaannya aktiviti itu akan bermula jam 12 tengah malam hingga ke subuh. Mereka mencuba alternatif untuk berhibur melalui cara yang salah,” katanya.


Aksi berbahaya menunggang motosikal menggunakan kaki.

Walaupun mempunyai pilihan untuk berlumba secara sah di trek khas, berlumba secara haram lebih menyeronokkan kerana ia lebih murah dan senang tanpa perlu ada sebarang syarat atau peraturan yang dikatakan menjejaskan keseronokan.

Berdasarkan kajian Dr Rozimi, bergerak dalam kumpulan yang ramai boleh mendatangkan keseronokan dan mereka tidak perlu menyertai perlumbaan yang diluluskan pihak berkuasa kerana ia memerlukan kos tinggi.

“Mereka cuma perlu isi minyak. Misalnya, jika membayar RM5 untuk mengisi minyak, mereka boleh merempit sepanjang malam. Kita juga perlu sedar, kebanyakan mat rempit adalah datangnya daripada keluarga bermasalah.

“Apabila masalah rumah tangga tidak diselesaikan, boleh berlaku perceraian. Anak-anak menjadi mangsa, ada yang terabai kerana tiada siapa yang membimbing mereka. Jadi, mereka akan membuat keputusan sendiri iaitu melepak bersama rakan mencari keseronokan,” katanya.


Berlumba di litar khas, pilihan terbaik mat rempit.


Satu faktor yang tidak harus dilupakan ialah bertambahnya jumlah motosikal di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada meningkatkan jumlah mat rempit. Malaysia adalah negara paling tinggi mempunyai motosikal import atau buatan nasional berbanding negara Asean lain.

Bagi golongan berpendapatan rendah, motosikal adalah pilihan terbaik untuk mereka kerana ia lebih murah serta mampu dimiliki.



No comments:

Post a Comment