Friday, January 30, 2009

Kesilapan: Pengalaman Ke Arah Kejayaan


~sekadar gambar hiasan~


Oleh Dr.Ismail Zain


Sebagai manusia yang penuh dengan kekerdilan, kesilapan sering dialami. Walaupun tiada siapa yang inginkan kesilapan, tetapi jika berlaku ia akan membawa keruntuhan dan kemusnahan dalam kehidupan. Kesilapan dalam tindakan, kesilapan dalam menentukan keputusan atau kesilapan dalam sesuatu perkara teknikal membawa padah bukan sahaja pada diri sendiri tetapi juga melibatkan keluarga dan masyarakat.


Namun kesilapan bukanlah satu noktah dalam kehidupan. Oleh kerana kesilapan itu adalah hasil daripada sesuatu keterlanjuran, maka terdapat ruang dan masa untuk diperbetulkan agar “pisang tidak berbuah dua kali”. Justeru, setiap kesilapan yang dilakukan harus dilihat secara positif bukan sekadar merintih dengan penuh penyesalan tetapi menjadikannya sebagai pengajaran dan pengalaman untuk bangun semula dalam usaha mengejar kejayaan.


Sebagai seorang pelajar pelbagai cabaran harus dilalui sama ada dalam proses pembelajaran maupun dalam proses pergaulan. Setiap manusia mempunyai naluri yang akan mempengaruhi kehendak terhadap sesuatu perkara. Dalam usaha memenuhi kehendak maka manusia juga akan dipengaruhi di antara akal fikiran dengan perasaan yang bertunjangkan ego. Setiap kehendak yang berlandaskan fikiran akan melalui proses penapisan. Proses penapisan ini akan lebih mantap dengan adanya keimanan. Oleh itu setiap kehendak akan dikaji semasak-masaknya agar tidak ada pelanggaran dari aspek agama, sosial, etika maupun peraturan yang tersedia ada. Maka setiap kehendak akan memberi kebaikan dunia dan akhirat.


Di sebaliknya jika kehendak dipengaruhi dengan perasaan ego maka tidak ada penapisan yang berlaku pada perbuatan yang dilakukan. Malah pada ketika itu keegoan yang ada pada dirinya seolah-olah memberi kekebalan padanya sehinggakan sanggup melakukan apa sahaja perbuatan tanpa mengira kesan baik atau buruk, betul atau salah, bahaya atau selamat.


Setelah terperangkap dengan perbuatan yang menyalahi setiap penjuru kehidupan, atau menerima musibah hasil daripada tindakan yang salah, manusia akan melalui proses penyesalan. Adalah wajar seseorang itu menyesali segala kesilapan yang dilakukan oleh kerana penyesalan akan menimbulkan keinsafan. Keinsafan harus digandingi dengan usaha ke arah penambahbaikan agar kehidupan dapat diteruskan selagi hayat dikandung badan.


Segala pengalaman pahit harus dijadikan pengajaran yang mampu mengubah destinasi kehidupan. Sesungguhnya kegagalan yang dialami adalah titik tolak ke arah kejayaan yang bakal ditemui. Setiap langkah akan dibuat dengan lebih berhati-hati oleh kerana pengalaman mengajarnya menjadi lebih matang. Keazaman yang dibuat setelah mengalami kegagalan adalah merupakan keazaman yang berjejak di bumi nyata bukan keazaman yang bersifat khayalan. Dalam hal ini jika keazaman dilaksanakan dengan serius maka kejayaannya akan berlipat ganda malah dapat menandingi sesiapa sahaja termasuk mereka yang digeruni buat suatu ketika dahulu. Kita biasa dengar kisah pelajar yang gagal di peringkat permulaan tetapi akhirnya menjawat jawatan yang tinggi atau pelajar yang nakal tetapi akhirnya menjadi usahawan yang berjaya.


Sesungguhnya pengalaman amat berharga dan tidak boleh dijual beli. Setiap kegagalan itu adalah merupakan satu pengalaman yang harus dijadikan panduan ke arah penyambungan kehidupan seterusnya.




No comments:

Post a Comment